Thursday, 21 April 2016

Dasar Luar Negara

Secara umumnya, dasar-dasar yang dijalankan oleh setiap negara merupakan salah satu perancangan strategik dalam sistem pentadbiran sesebuah negara. Sebagai contoh, kita dapat lihat perancangan dasar yang dijalankan oleh Negara China dimana mereka melaksanakan Dasar Perancangan Keluarga atau dalam erti kata lain “Dasar Satu Anak”. Mereka juga beranggapan bahawa dasar ini sebagai Dasar Kawalan Penduduk. Dasar ini telah diperkenalkan oleh Presiden Deng Xiaoping pada tahun 1979 yang menegaskan bahawa penduduk di China tidak dibenarkan atau disekat untuk melahirkan anak kedua. Walaubagaimanapun, dasar ini bertentangan dengan dasar Mao Zedong yang menegaskan bahawa manusia merupakan perkara yang utama kerana lebih besar penduduk maka lebih banyak tenaga buruh. Sehingga kini, Dasar Perancangan Keluarga ini masih dijalankan. (“Family Planning in China”, Information Office of the State Council Of the People's Republic of China, August  1995, Beijing).



“Untuk negara yang makmur, serta berkuasa dan keluarga yang bahagia, sila amalkan perancangan keluarga." 
-Papan tanda kerajaan di Nanchang-


Dasar Perancangan Keluarga wujud disebabkan kerajaan negara China mempercayai bahawa pertumbuhan penduduk yang pesat akan menyebabkan cabaran semakin banyak terhadap pertumbuhan pembangunan di negara China. Hal ini kerana semasa berlaku pertumbuhan penduduk yang pesat, ianya telah menyebabkan berlaku tekanan yang besar kepada kerajaan China untuk memenuhi keperluan dan kehendak rakyat mereka. (Dasar Perancangan Keluarga, Sinar Harian, Marlissa Mohamad Kamal, 3 Jun 2013). Maka, kerajaan China telah mengubal dasar ini bagi kepentingan pembangunan negara terutamanya dari segi ekonomi dengan menjalankan beberapa pendekatan seperti perkhidmatan perancangan keluarga. Walaubagaimanapun, pada tahun 2013, kerajaan Negara China telah mengumumkan bahawa dasar ini diloggarkan. Hal ini kerana wujudnya kesan negatif akibat daripada perlaksanaan dasar ini. Antaranya ialah kerajaan China telah mengalami kekurangan tenaga buruh serta berlaku ketidakseimbangan antara lelaki dan perempuan.

Selain itu, dasar ini juga telah menyebabkan berlaku peningkatan kes ibu bapa yang bunuh diri kerana mereka mendapat anak perempuan. Kes ini sering berlaku di bandar-bandar yang kecil atau di kawasan perkampungan desa disebabkan mereka berada dalam keadaan terdesak untuk mendapatkan anak lelaki. Hal ini kerana masyarakat di negara China mempercayai bahawa anak-anak lelaki akan membawa tuah dalam kehidupan mereka dan anak lelaki akan mengerjakan kawasan pertanian milik mereka. (Polisi Satu Anak di China Rancang Keluarga, Datuk RuhaidiniAbd Kadir, Bahagian Rencana, 21 Disember 2011). 

          Persatuan hak asasi manusia telah menentang dasar ini kerana kes ini telah mewujudkan kegiatan rasuah, pemaksaan menggugurkan kandungan dan pembunuhan bayi. Maka, kerajaan China terdorong untuk menguatkuasakan undang-undang dengan melarang penggunaan kekuatan fizikal bagi megelakkan kejadian wanita menggugurkan anak. Menurut fakta, Presiden AS George W. Bush telah mengunakan alasan hak asasi manusia untuk menghentikan US$3 - US$4 juta bayaran kepada United Nations Populations Fund (UNFPA) di China pada awal tahun 2002 bagi membanteras atau menunjukkan protes terhadap dasar ini. (“UNFPA Does Not Support China’s One Child Policy”, by Mark Leon Goldberg, 5 Oktober 2011, United Nations News & Commentary Global News-Forum)

             Oleh itu, kerajaan China telah melonggarkan dasar ini dengan membenarkan setiap pasangan memiliki anak kedua sekiranya mereka merupakan anak tuinggal atau salah seorang daripada pasangan merupakan anak tunggal. (Dasar Perancangan Keluarga, Sinar Harian, Marlissa Mohamad Kamal, 3 Jun 2013). Namun begitu, perlaksanaan syarat tersebut merupakan syarat yang akan mengambil masa dalam jangka panjang, maka kerajaan telah menegaskan melalui pembaharuan syarat yang lain iaitu menamatkan sistem “pendidikan semula melalui buruh”. Kelancaran dasar ini telah dikuatkuasakan dengan pelbagai cara dan ianya berlaku secara menyeluruh di kawasan bandar. Namun ia dilaksanakan secara berbeza mengikut kawasan. Sebagai contoh, penduduk di wilayah Henan dan Beijing telah melonggarkan syarat dan boleh memiliki dua anak tunggal dengan syarat ayah kandung mempunyai sifat kecacatan.

 Segelintir kawasan pedalaman pula, keluarga hanya dibenarkan untuk mempunyai anak kedua jika anak pertama mereka ialah perempuan atau mengalami kecacatan fizikal, mental atau terencat akal dan jarak kelahiran pula biasanya tiga atau empat tahun. Manakala, hanya penduduk di Hong Kong, Tibet dan Macau sahaja terkecuali daripada perlaksanaan “Dasar Perancangan Keluarga” selain daripada rakyat asing yang tinggal di China. Selain itu, anak yang lahir di luar negara dan tidak mendapat kerakyatan di China serta warga negara China yang balik dari luar negara dibenarkan memiliki anak kedua. (“Family Planning in China”, Information Office of the State Council Of the People's Republic of China, August  1995, Beijing).


Kesimpulannya, akibat daripada perlaksanaan dasar ini, kadar kelahiran di China semakin merundum. Namun, bagi Kerajaan China, mereka telah menganggap bahawa dasar itu merupakan sebahagian kejayaan besar bagi negara mereka untuk mengatasi masalah kependudukan. Antaranya ialah mereka berjaya mengatasi masalah kemiskinan, kelaparan, kebuluran, kesihatan, kadar celik huruf dan pelbagai masalah sosial lain.

No comments:

Post a Comment