Sunday, 3 July 2016

"Tell Me Why''

Berikut adalah lagu yang bertajuk "Tell Me Why" dan saya akan memberikan beberapa pandangan mengenai lirik-lirik yang tersembunyi di dalam lagu tersebut dan menghuraikannya dalam aspek hak asasi manusia




Antara hak-hak asasi manusia yang dibicarakan dalam klip lagu dan lirik ‘Tell me why’ adalah :
1.      Hak kebebasan bersuara 
2.      Hak untuk mendapatkan perlindungan.
3.      Hak kanak-kanak.
4.      Hak untuk mendapatkan keadilan
5.      Hak kebebasan dalam sesebuah negara
6.      Hak kesamarataan
7.      Hak keselamatan sosial
8.      Kebebasan kepercayaan dan agama

Lagu ‘Tell me why’ telah dinyanyikan oleh Declan Galbraith ketika dia berumur 11 tahun. Lagu ini menceritakan tentang isu-isu yang berkaitrapat dengan situasi yang berlaku di dunia. Melalui lagu ini, penulis lirik dan termasuklah penyanyi menyatakan bahawa kanak-kanak seharusnya mempunyai kehidupan yang sentiasa ceria dan dipenuhi dengan gelak ketawa. Walau bagaimanapun, masih terdapat kanak-kanak yang hidup dalam keadaan kemiskinan, kelaparan dan sentiasa dizalimi. Hal ini dapat dikaitkan dengan lirik yang pertama di mana ia telah menerangkan sebab kewujudan konflik yang banyak. Berdasarkan lirik tersebut, manusia atau kanak-kanak menganggap bahawa kejadian peperangan dan konflik yang berlaku adalah mimpi, sedangkan apabila mereka bangun dari tidur ianya adalah realiti.

"in my dream, children sing
a song of love for every boy and girl
the sky is blue and fields are green
and laughter is the language of the world
then i wake and all i see”

Bahagian pertama lagu ini menjelaskan bahawa manusia sentiasa memerlukan bantuan, tetapi persoalannya, mengapakah tiada bantuan kepada mereka yang memerlukan pertolongan?. Pelbagai persoalan yang dinyatakan oleh kanak-kanak tersebut berdasarkan lirik dibawah.

"Tell me why (why) does it have to be like this?
Tell me why (why) is there something I have missed?
Tell me why (why) cause I don't understand
When so many need somebody
We don't give a helping hand
Tell me why?"

Malah, kanak-kanak tersebut juga bertanya adakah dia perlu membazir masanya di dunia yang yang penuh dengan peperangan, kekacauan, kemiskinan dan kemusnahan ini?. Adakah hidupan sebegini ialah hidupan yang kita ingin beri kepada anak kita?. UDHR telah menyatakan bahawa setiap individu mempunyai hak kebebasan untuk mendapatkan perlindungan, kedamaian dan lain-lain lagi khususnya golongan wanita dan kanak-kanak. Namun, melalui peperangan yang penuh kezaliman contohnya peperangan Israel dan Gaza, Syria dan sebagainya telah menyebabkan masyarakat yang tidak bersalah telah terkorban. Hal ini telah melanggar prinsip hak asasi manusia.
Walau bagaimanapun, lagu ini juga bukan ditujukan khas untuk isu-isu kemiskina, malah lirik tersebut juga menerangkan isu hak asasi terhadap kedamaian dan hak untuk mendapatkan perlindungan kepada haiwan. ‘Why do the tigers run? Why do we let the forests burn? Why do we let the ocean die?. Soalan-soalan ini membawa isu-isu tentang isu alam sekitar. Kita sedia maklum bahawa isu-isu alam sekitar sering dijadikan isu hal remeh temeh. Hal ini kerana manusia menjadi rakus terhadap pembangunan sehinggakan hutan dibakar dan pokok ditebang, kawasan lautan menjadi tempat pembuangan sisa-sisa kumbahan dan sebagainya.
Kemudian, persoalan dalam lirik ‘why do we shoot the gun?’ dikaitkan dengan dua isu utama iaitu isu memburu haiwan dan isu peperangan. Melalui Artikel 1, UDH telah menegaskan bahawa setiap individu berhak mendapat keadilan dan kesamarataan yang adil. Namun, berdasarkan video lagu tersebut, kanak-kanak dijadikan mangsa peperangan sehingga menyebabkan mereka terpaksa memegang senapang untuk mendapatkan perlindungan terhadap diri sendiri.
Pengakhiran lagu ini menyebabkan masyarakat akan tersentuh di mana lirik lagu tersebut ialah why cannot just be friends’. Persoalannya, mengapakah kita susah untuk menjadi kawan sedangkan kita mampu mengubah dunia yang huru-hara menjadi aman dan damai. Oleh itu, semua lapisan masyarakat di dunia, seharusnya bekerjasama untuk mendapatkan kedamaian demi kepentingan generasi akan datang.


Faktor Penurunan Kadar Mogok


FAKTOR PENURUNAN KADAR MOGOK
Setelah membandingkan kadar mogok di Malaysia dari tahun 1967-1970 dan tahun 2008-2010 telah menunjukkan penurunan yang drastik. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan penurunan kadar mogok di Malaysia. Salah satunya ialah pelbagai syarat sama ada dalam bentuk substantif mahupun prosedur yang dikenakan oleh Akta Perhubungan Perusahaan dan Akta Kesatuan Sekerja ke atas hak pekerja untuk melancarkan mogok (Kamal & Rose, 2003, 77). Sekiranya sesebuah kesatuan sekerja gagal dalam memenuhi syarat-syarat dalam melancarkan mogok, maka pelancaran mogok tersebut dijadikan sebagai suatu kesalahan undang-undang. Hal ini memberi kesan negatif kepada semua pekerja dan penganjur mogok sama ada secara langsung atau tidak langsung sehingga mereka boleh terdedah kepada berbagai bentuk tindakan undang-undang.
Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhubungan Perusahaan, Kementerian Sumber Manusia seperti yang dilampirkan di jadual 2, jumlah insiden mogok yang tertinggi di negara adalah berlaku pada 1957 iaitu berjumlah 295 mogok dilancarkan. Kemudian, ianya menurun kepada 213 pada 1956, manakala di sekitar 1960-an sehingga 1980-an, jumlah puratanya adalah kurang daripada 100 (Maimunah, 1996, 147). Di sekitar tahun 1990-an pula bilangan insiden mogok jarang melebihi 20 kes. Hal ini dapat diterangkan berdasarkan jadual 2, rajah 1 dan gambar 1.
Menurut kebanyakkan komentator, walaupun hak untuk mogok telah diiktiraf namun pelaksanaannya menjadi hampir musnah akibat daripada pelaksanaan kawalan yang ketat (Cyrus, 1991, iii-iv ; Kamal & Rose, 2003, 37). Maka, ia menunjukkan bahawa bilangan insiden mogok semakin berkurangan disebabkan kawalan yang ketat serta sekatan undang-undang yang dilaksanakan oleh kerajaan secara langsung ke atas hak untuk mogok. Tambahan lagi, keupayaan pekerja untuk membela hak mereka sebagai pekerja dengan melancarkan mogok juga disekat akibat pelaksanaan kawalan dan sekatan yang dikenakan terhadap kesatuan sekerja.
Selain kawalan dan sekatan yang dikenakan oleh undang-undang ke atas hak pekerja untuk melancarkan mogok, penurunan kadar insiden mogok juga disebabkan oleh pembangunan ekonomi di Malaysia, faktor politik, perlindungan kerajaan dan sebagainya (Kamal & Rose, 2003, 109). Kita sedia maklum bahawa Tragedi Rusuhan Kaum 13 Mei 1969 menunjukkan beberapa kelemahan sistem pengagihan hasil negara kepada rakyat berbilang kaum. Maka, kerajaan telah melancarkan beberapa langkah dalam memastikan hasil ekonomi negara dinikmati oleh semua lapisan masyarakat secara lebih adil (Anantaranam, 1997 ; Kamal & Rose, 2003, 109). Hal ini sudah dijelaskan dalam matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) di bawah Rancangan Malaysia ke-2 pada 1971.
Walaupun peruntukan undang-undang yang mengawal aktiviti kesatuan sekerja dijadikan sebagai faktor utama penurunan kadar mogok, namun terdapat beberapa faktor lain yang boleh dipertanggungjawabkan penurunan kadar mogok tersebut. Antaranya ialah faktor berlakunya pertumbuhan ekonomi sehingga mampu menstabilkan sesebuah syarikat perusahaan. Hal ini bermaksud pertumbuhan ekonomi telah menyebabkan kenaikan kadar upah dan keadaan kerja yang lebih baik, peningkatan taraf hidup, pemberian perlindungan dan kemudahan asas kepada kebajikan dan hak pekerja (Kamal & Rose, 2003, 124). Ketika menjalankan kajian lapangan luar kampus di Syarikat Sanmina, penyelaras di bahagian sumber manusia telah menjelaskan bahawa keadaan ekonomi yang baik di syarikat mereka akan menyebabkan mereka memberi layanan atau menjaga kebajikan kepada setiap invidu di syarikat mereka.
Kini, pembangunan ekonomi di Malaysia masih berada dalam keadaan stabil walaupun terdapat beberapa isu yang dipertikaikan oleh segelintir pihak. Kestabilan ekonomi ini juga merupakan salah satu penyebab berlaku perubahan penurunan terhadap kegiatan mogok dalam kesatuan sekerja. Jika dibandingkan pada peringkat tahun 1947-1970, penggunaan buruh merupakan sumber utama dalam memaksimumkan keuntungan dan mengurangkan kos. Namun, apabila keadaan ekonomi meleset sehingga menyebabkan harga getah dan timah jatuh pada paras rendah, maka kelas pemodal menghadapi kesulitan yang besar untuk menikmati keuntungan (Kamaruddin, 1992, 60). Oleh itu, para kelas pemodal dan majikan terpaksa bertindak dalam memberhentikan pekerja khususnya mereka yang bekerja di ladang. Tambahan lagi, isu-isu yang dipertikaikan oleh pekerja kepada majikan semasa zaman ekonomi 1947-1970 adalah berkaitan dengan bantahan terhadap pembuangan kerja oleh pihak majikan.
Memandangkan negara Malaysia merupakan negara sedang membangun, kejayaan dalam sektor perindustrian adalah bergantung kepada pelaburan dari luar negara disebabkan oleh modal dan kepakaran di Malaysia bersifat terhad. Maka, bagi menarik pelabur asing ke negara Malaysia, beberapa prasyarat telah dikenakan seperti dasar ekonomi terbuka dan liberal serta bekalan tenaga buruh yang mencukupi pada kadar kos yang kompetetif (Kamal & Rose, 2003, 110). Melalui dasar ekonomi, Malaysia telah mengamalkan dasar sistem ekonomi terbuka semejak zaman kemerdekaan. Maka, sistem ekonomi terbuka tidak menjadi suatu luar kebiasaan bagi negara Malaysia.

Sebaliknya, penyediaan tenaga buruh yang mencukupi pada kadar kos yang kompetetif adalah faktor penting yang berkait rapat dalam menarik minat pelabur asing ke Malaysia khususnya dari negara Amerika Syarikat, Eropah dan juga Jepun (Kamal & Rose, 2003, 110). Maka, perundangan dan pengawalan terhadap aktiviti kesatuan sekerja memainkan peranan penting sekiranya berlaku pertikaian atau konflik industri. Sebagai contoh, aktiviti kesatuan sekerja seperti membuat tuntutan daripada pihak majikan mampu mewujudkan pertikaian perindustrian. 

Kesimpulannya, kewujudan konflik industri jelas menunjukkan bahawa wujud perasaan tidak puas ati antara pekerja dengan pihak majikan. Pada masa kini, kebanyakkan kes konflik industri berlaku adalah disebabkan oleh sekatan ke atas lebihan masa bekerja. Hal ini bermaksud majikan mengehadkan masa bekerja untuk meminimumkan kos pengeluaran atau upah terhadap pekerja dan tidak membenarkan pekerja menjalankan ‘overtime’ melebihi masa yang ditetapkan. Maka, pekerja akan melaksanakan tindakan mogok sebagai tanda protes atau ingin menunjukkan perasaan tidak puas ati supaya pihak majikan mengambil tindakan yang sewajarnya. Segelintir pekerja akan mogok terhadap sekatan ini adalah disebabkan oleh sistem taraf hidup pada masa lebih tinggi berbanding pada masa sebelum merdeka.
Walaupun kerajaan telah menetapkan gaji minimum untuk semua pekerja di Malaysia, namun ianya masih belum mencukupi untuk menampung kehidupan seharian di Malaysia. Melalui pemerhatian, kadar mogok telah menunjukkan penurunan yang drastik pada masa kini berbanding tahun 1947-1970, namun masih terdapat beberapa mogok yang dilaksanakan oleh beberapa pihak untuk mendapatkan hak pekerja. Hal ini termasuklah hak untuk mendapatkan pendapatan yang sewajarnya dan lain-lain lagi. Berbanding sebelum zaman merdeka, pekerja melancarkan mogok adalah disebabkan oleh faktor politik dan tindakan majikan dalam menindas hak pekerja seperti pemecatan pekerja dan sebagainya.
Namun, akibat daripada sekatan dan kawalan undang-undang oleh kerajaan Malaysia terhadap hak pekerja untuk melancarkan mogok, maka keperluan mogok menjadi semakin berkurang. Hal ini bermaksud pekerja menjadi tidak semangat untuk melaksanakan tindakan mogok disebabkan pelbagai prosedur terpaksa diikuti untuk mendapatkan kebenaran menjalankan mogok secara sah. Walau bagaimanapun, pihak kerajaan perlu memberi jaminan untuk menjaga kepentingan hak pekerja dan kebajikan mereka supaya pekerja di Malaysia tidak ditindas dan terabai. Hal ini termasuklah pekerja asing yang bekerja di negara Malaysia. Apabila hak pekerja diabaikan, pelbagai kesan buruk yang mungkin berlaku di mana pekerja akan ditindas oleh majikan sehingga menyebabkan pekerja memberontak pada masa akan datang.

LANJUTAN "MOGOK" DALAM HAK ASASI PEKERJA

Sebelum ini, saya pernah mengemukakan esei mengenai konflik industri termasuklah pengertian mogok. Maka, beberapa faktor yang boleh dijelaskan berdasarkan beberapa kajian yang dibuat oleh pengkaji dalam menganalisa punca mogok. Antaranya dapat di perjelaskan dalam topik ini. Mogok ini juga boleh dikaitkan dengan hak asasi manusia, di mana ianya dikaitakan dengan hak-hak pekerja dalam sesebuah industri. Segelintir pekerja hanya mampu melancarkan mogok bagi mendapatkan hak asasi dalam pekerjaan mereka khususnya bagi pekerja tempatan sejak zaman dahulu lagi iaitu sebelum merdeka.
Menurut kajian yang dibuat oleh Kamaruddin, tindakan kelas pekerja yang melancarkan mogok adalah bermula pada tahun 1939 (Kamaruddin, 1992, 51). Pelancaran mogok ini dikaitkan dengan kejatuhan harga getah dan bijih timah pada penghujung tahun 1937 hingga ke bulan Ogos 1939 dan ia menyebabkan permintaan terhadap terhadap tenaga buruh juga berkurangan (Kamaruddin, 1992, 50). Walau bagaimanapun, pihak majikan dan pihak berkuasa tidak berniat untuk menghantar semula buruh-buruh asing ke negeri mereka. Hal ini kerana sekiranya berlaku peningkatan harga timah dan getah, ia menyebabkan pihak majikan sukar untuk mencari semula tenaga buruh terutamanya dalam kalangan pekerja India.
Oleh itu, pihak berkuasa dengan kerjasama United Planting Association of Malaya (UPAM), telah mencadangkan supaya pihak majikan mengurangkan tingkat upah serta memendekkan waktu bekerja (Kamaruddin, 1992, 50). Secara tidak langsung, para pemodal akan memperolehi keuntungan melalui perusahaan mereka. Tindakan memotong gaji telah menyebabkan berlakunya mogok oleh pekerja lombong timah di Sungai Besi dan percubaan mogok oleh pekerja ladang bangsa India di Perak (Kamaruddin, 1992, 50). Namun, terdapat beberapa mogok yang dilancarkan pada tahun 1939 tidak melibatkan penurunan atau pemotongan gaji, sebaliknya, ia adalah disebabkan oleh campur tangan Parti Komunis Malaya (PKM). Hal ini kerana Parti Komunis Malaya cuba untuk memperkuatkan pengaruhnya terhadap kelas pekerja Cina untuk mendapatkan sokongan bagi menentang penjajah Jepun.
Seterusnya, menurut Kamaruddin M.Said lagi, mogok-mogok yang dilancarkan pada tahun 1946 adalah berpunca daripada tuntutan kenaikan upah, penetapan waktu kerja lapan jam sehari, pembayaran gaji dua kali ganda jika lebih masa atau sewaktu cuti awam, hari ahad dijadikan hari cuti bergaji, pemberian cuti sakit bergaji, pemberian cuti tahunan sebanyak 21 hari, dan menghentikan pembuangan kerja tanpa alasan yang munasabah (Kamaruddin, 1992, 53). Bilangan insiden mogok antara 1946-1948 jelas menunjukkan bahawa berlaku ketegangan antara kelas pekerja dengan pihak majikan. Kemudian, berikutan daripada penguatkuasaan undang-undang darurat akibat daripada insiden mogok, ia telah menunjukkan bahawa bilangan insiden mogok yang dilancarkan oleh kelas pekerja berkurangan dengan sangat ketara ( Lihat Stenson, 1970, 226 ; Kamaruddin, 1992, 54).
Selain daripada isu tuntutan gaji yang tunggi, mogok-mogok yang dilancarkan oleh pekerja juga adalah disebabkan mereka ingin menuntut pengiktirafan kesatuan sekerja, membantah jangka masa kerja yang panjang dan bersimpati dengan pekerja lain yang sedang menjalankan mogok. Bantahan yang dilaksanakan oleh pekerja mengenai tempoh bekerja telah dianggap sebagai isu yang tidak penting. Hal ini kerana undang-undang telah menetapkan dan menyelaraskan tempoh bekerja bagi kesemua pekerja. Melalui kajian luar kampus di Syarikat Sanmina, penyelaras syarikat tersebut telah menerangkan bahawa majoriti pekerja asing akan memberontak untuk mendapatkan kadar masa bekerja melebihi masa yang ditetapkan. Hal ini kerana pekerja asing di Syarikat Sanmina lebih gemar bekerja ‘overtime’ untuk mendapatkan pendapatan yang berlebihan.
Selain itu, isu pertikaian atau isu konflik industri antara pekerja dan majikan adalah disebabkan pemecatan kerja. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya pemecatan yang dibuat. Antaranya ialah majikan merasakan bahawa pekerja telah melakukan kesalahan yang mengakibatkan pemecahan kontrak perkhidmatan (Kamal & Rose, 2003, 26). Pemecatan akan berkuatkuasa secara langsung apabila majikan memerintahkan pekerja meninggalkan pekerjaan melalui notis. Kebanyakkan majikan akan memberikan alasan isu pemecatan para pekerja adalah disebabkan oleh salah laku pekerja. Hal ini bermaksud pekerja dianggap melakukan perbuatan yang tidak betul atau kesalahan secara sengaja dengan melanggar peraturan.

Seterusnya, selain daripada pemecatan secara langsung yang dibuat oleh majikan, pemecatan konstruktif juga merupakan salah satu jenis pemecatan yang sering timbul dalam konflik industri antara majikan dan pekerja (Kamal & Rose, 2003, 29). Pemecatan ini berlaku apabila majikan menjadikan pekerja berada dalam keadaan yang tidak diperlukan. Sebagai contoh, majikan menurunkan pangkat pekerja, menukar pekerja ke bahagian atau kawasan lain, menarik balik kemudahan yang disediakan dan sebagainya ( Kamal & Rose, 2003, 29). Tindakan majikan tersebut akan menyebabkan pekerja merasakan bahawa dirinya tidak diperlukan di tempat kerja. Maka, pekerja akan mengambil tindakan dengan membatalkan kontrak perkhidmatan.

KONFLIK INDUSTRI

KONFLIK INDUSTRI
Perhubungan perusahaan wujud antara pihak majikan dengan pekerja atau kesatuan sekerja. Hubungan antara kedua belah pihak berkemungkinan berpotensi untuk mewujudkan pertikaian disebabkan masing-masing mempunyai kepentingan yang berbeza. Hal ini menunjukkan bahawa pihak majikan mempunyai kepentingan untuk memastikan keuntungan yang maksimum manakala pihak pekerja berusaha untuk mendapatkan pulangan yang berpatutan (Kamal & Rose, 2003, 15). Sekiranya kepentingan ini tidak dijaga dengan baik, maka akan berlaku konflik industri antara kedua-dua belah pihak. Konflik industri sentiasa wujud di seluruh negara sehingga ianya mampu menjejaskan ekonomi bagi sesebuah negara khususnya di Malaysia. Pembangunan ekonomi di Malaysia pada tahun 1930-an telah menghadapi zaman kemelesetan akibat daripada kejatuhan harga getah dan timah ( Kamaruddin, 1992, 47). Hal ini telah dikaitkan sebagai satu konflik dalam industri di Malaysia.
Tambahan lagi, konflik ketika zaman sebelum merdeka adalah berlaku disebabkan oleh manifesti daripada kontradiksi sosial dalam sistem ekonomi pasaran bebas yang dibawa oleh pihak penjajah. Walau bagaimanapun, secara khususnya adalah konflik industri berlaku apabila wujud ketidakfahaman dan perasaan tidak puas hati antara pekerja dengan majikan. Konflik ini sering kali wujud dalam bentuk hak berkesatuan, pengiktirafan kesatuan sekerja, pertikaian dalam perjanjian kolektif, berkenaan pengurangan gaji dan sebagainya.

MOGOK
Mogok merupakan salah satu petunjuk kewujudan konflik perindustrian (Kamaruddin, 1970, 2). Oleh itu, lonflik perindustrian dilihat sebagai suatu pertentangan antara sekumpulan pekerja dengan pihak majikan dalam sesebuah kilang atau perusahaan yang tertentu (Kamaruddin, 1992, 2). Seksyen 2 memberikan takrifan mengenai mogok sebagai :
‘Tindakan yang memberhentikan kerja yang dilakukan oleh sekumpulan pekerja yang bertindak secara bersatu atau secara bersama-sama, enggan atau keengganan untuk terus bekerja atau untuk menerima pekerjaan di bawah persefahaman bersama oleh bilangan pekerja dan termasuklah apa-apa tindakan atau ketinggalan oleh sekumpulan pekerja yang bertindak bersama atau di bawah persefahaman bersama, yang dimaksudkan kepada atau supaya menyebabkan apa-apa had, sekatan, pengurangan atau penamatan atau penangguhan perlakuan atau perlaksanaan kesemua atau mana-mana bahagian tugas yang bersangkutan dengan pekerjaan’ (Siti, 2000, 108).
Berdasarkan penyataan Seksyen 2 tersebut, ia jelas menunjukkan bahawa mogok mestilah dilakukan oleh sekumpulan pekerja yang bertindak secara bersama atau melalui persefahaman bersama. Hal ini menunjukkan sekiranya seorang pekerja mengambil keputusan untuk berhenti kerja maka perbuatan tersebut tidak dianggap sebagai mogok. Kebiasaannya, mogok dilakukan melalui anggota sesebuah kesatuan sekerja (Siti, 2000, 109). Menurut Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia, mogok merupakan tindakan memberhentikan atau enggan melakukan kerja oleh sekumpulan pekerja yang bertindak secara bersatu atau menyekat, mengurang, menangguh atau menamatkan pelaksanaan mana-mana tugasan berkaitan dengan pekerjaan mereka (Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia).
Tindakan mogok digunakan sebagai tanda rasa tidak puas hati antara pekerja terhadap majikan berhubung dengan sesuatu keadaan khususnya berkaitan dengan upah atau keadaan pekerjaan (Kamal & Rose, 2003, 36). Di Malaysia, mogok dikatakan sebagai suatu tindakan yang wajar dan diiktiraf bagi menjamin hak asasi pekerja. Mogok juga menjadi alat penting kerana jika proses pelaksanaan mogok berjaya, maka pekerja mampu memaksa majikan untuk cuba menyelesaikan pertelingkahan yang timbul secepat mungkin bagi mengelakkan kerugian yang tinggi. Menurut Sykes (1982,53), mogok juga merupakan tindakan perusahaan di mana ia merupakan suatu ‘senjata’ berasaskan taktik ‘tekanan’ yang digunakan secara langsung ke atas majikan apabila berlaku sesuatu konflik industri atau pertikaian perusahaan antara mereka dan boleh dilakukan dalam dua bentuk iaitu bentuk primer atau sekunder ( Kamal & Rose, 2003. 36)
Pelbagai kesan yang akan diperolehi akibat berlakunya tindakan mogok pekerja terhadap industri atau majikan. Dari segi bentuk primer[1], mogok boleh mengakibatkan kerugian kepada sesebuah organisasi di mana produktiviti pekerja akan terjejas. Manakala, dari segi bentuk sekunder[2] pula, ‘mogok simpati’ yang dilancarkan mampu melumpuhkan sesebuah industri malah menjejaskan ekonomi serta ketenteraman awam dalam sesebuah negara. Sebaliknya, mogok umum yang melibatkan politik akan mengugat kestabilan politik sesebuah negara dan menyebabkan berlakunya pergulungan kerajaan (Kamal & Rose, 2013, 36).


1.       Bentuk primer bermaksud mogok dilakukan secara langsung ke atas majikan apabila berlaku sesuatu ‘pertikaian perindustrian’ antara majikan dan pekerja.

2.       Bentuk sekunder ialah mogok yang dilakukan ke atas orang ataupun organisasi lain bagi mencapai matlamat yang sama. Bentuk ini meliputi mogok simpati dan mogok politik. Walau bagaimanapun, bentuk sekunder ini tidak sah untuk digunakan di Malaysia disebabkan ianya bertentangan dengan peruntukan seksyen 45(1)(b) Akta Perhubungan Peusahaan 1967.  (Kamal & Rose, 2013, 36)