Sebelum ini, saya pernah mengemukakan esei mengenai konflik industri termasuklah pengertian mogok. Maka, beberapa faktor yang boleh dijelaskan berdasarkan beberapa kajian yang dibuat oleh pengkaji dalam menganalisa punca mogok. Antaranya dapat di perjelaskan dalam topik ini. Mogok ini juga boleh dikaitkan dengan hak asasi manusia, di mana ianya dikaitakan dengan hak-hak pekerja dalam sesebuah industri. Segelintir pekerja hanya mampu melancarkan mogok bagi mendapatkan hak asasi dalam pekerjaan mereka khususnya bagi pekerja tempatan sejak zaman dahulu lagi iaitu sebelum merdeka.
Menurut kajian yang dibuat oleh Kamaruddin, tindakan
kelas pekerja yang melancarkan mogok adalah bermula pada tahun 1939
(Kamaruddin, 1992, 51). Pelancaran mogok ini dikaitkan dengan kejatuhan harga
getah dan bijih timah pada penghujung tahun 1937 hingga ke bulan Ogos 1939 dan
ia menyebabkan permintaan terhadap terhadap tenaga buruh juga berkurangan
(Kamaruddin, 1992, 50). Walau bagaimanapun, pihak majikan dan pihak berkuasa
tidak berniat untuk menghantar semula buruh-buruh asing ke negeri mereka. Hal
ini kerana sekiranya berlaku peningkatan harga timah dan getah, ia menyebabkan
pihak majikan sukar untuk mencari semula tenaga buruh terutamanya dalam
kalangan pekerja India.
Oleh itu, pihak berkuasa dengan kerjasama United Planting Association of Malaya
(UPAM), telah mencadangkan supaya pihak majikan mengurangkan tingkat upah serta
memendekkan waktu bekerja (Kamaruddin, 1992, 50). Secara tidak langsung, para
pemodal akan memperolehi keuntungan melalui perusahaan mereka. Tindakan
memotong gaji telah menyebabkan berlakunya mogok oleh pekerja lombong timah di
Sungai Besi dan percubaan mogok oleh pekerja ladang bangsa India di Perak
(Kamaruddin, 1992, 50). Namun, terdapat beberapa mogok yang dilancarkan pada
tahun 1939 tidak melibatkan penurunan atau pemotongan gaji, sebaliknya, ia
adalah disebabkan oleh campur tangan Parti Komunis Malaya (PKM). Hal ini kerana
Parti Komunis Malaya cuba untuk memperkuatkan pengaruhnya terhadap kelas
pekerja Cina untuk mendapatkan sokongan bagi menentang penjajah Jepun.
Seterusnya, menurut Kamaruddin M.Said lagi,
mogok-mogok yang dilancarkan pada tahun 1946 adalah berpunca daripada tuntutan
kenaikan upah, penetapan waktu kerja lapan jam sehari, pembayaran gaji dua kali
ganda jika lebih masa atau sewaktu cuti awam, hari ahad dijadikan hari cuti
bergaji, pemberian cuti sakit bergaji, pemberian cuti tahunan sebanyak 21 hari,
dan menghentikan pembuangan kerja tanpa alasan yang munasabah (Kamaruddin,
1992, 53). Bilangan insiden mogok antara 1946-1948 jelas menunjukkan bahawa
berlaku ketegangan antara kelas pekerja dengan pihak majikan. Kemudian,
berikutan daripada penguatkuasaan undang-undang darurat akibat daripada insiden
mogok, ia telah menunjukkan bahawa bilangan insiden mogok yang dilancarkan oleh
kelas pekerja berkurangan dengan sangat ketara ( Lihat Stenson, 1970, 226 ;
Kamaruddin, 1992, 54).
Selain daripada isu tuntutan gaji yang tunggi,
mogok-mogok yang dilancarkan oleh pekerja juga adalah disebabkan mereka ingin
menuntut pengiktirafan kesatuan sekerja, membantah jangka masa kerja yang
panjang dan bersimpati dengan pekerja lain yang sedang menjalankan mogok.
Bantahan yang dilaksanakan oleh pekerja mengenai tempoh bekerja telah dianggap
sebagai isu yang tidak penting. Hal ini kerana undang-undang telah menetapkan
dan menyelaraskan tempoh bekerja bagi kesemua pekerja. Melalui kajian luar
kampus di Syarikat Sanmina, penyelaras syarikat tersebut telah menerangkan
bahawa majoriti pekerja asing akan memberontak untuk mendapatkan kadar masa
bekerja melebihi masa yang ditetapkan. Hal ini kerana pekerja asing di Syarikat
Sanmina lebih gemar bekerja ‘overtime’ untuk mendapatkan pendapatan yang
berlebihan.
Selain itu, isu pertikaian atau isu konflik industri
antara pekerja dan majikan adalah disebabkan pemecatan kerja. Terdapat beberapa
faktor yang menyebabkan berlakunya pemecatan yang dibuat. Antaranya ialah
majikan merasakan bahawa pekerja telah melakukan kesalahan yang mengakibatkan
pemecahan kontrak perkhidmatan (Kamal & Rose, 2003, 26). Pemecatan akan
berkuatkuasa secara langsung apabila majikan memerintahkan pekerja meninggalkan
pekerjaan melalui notis. Kebanyakkan majikan akan memberikan alasan isu
pemecatan para pekerja adalah disebabkan oleh salah laku pekerja. Hal ini
bermaksud pekerja dianggap melakukan perbuatan yang tidak betul atau kesalahan
secara sengaja dengan melanggar peraturan.
Seterusnya, selain daripada pemecatan secara
langsung yang dibuat oleh majikan, pemecatan konstruktif juga merupakan salah
satu jenis pemecatan yang sering timbul dalam konflik industri antara majikan
dan pekerja (Kamal & Rose, 2003, 29). Pemecatan ini berlaku apabila majikan
menjadikan pekerja berada dalam keadaan yang tidak diperlukan. Sebagai contoh,
majikan menurunkan pangkat pekerja, menukar pekerja ke bahagian atau kawasan
lain, menarik balik kemudahan yang disediakan dan sebagainya ( Kamal &
Rose, 2003, 29). Tindakan majikan tersebut akan menyebabkan pekerja merasakan
bahawa dirinya tidak diperlukan di tempat kerja. Maka, pekerja akan mengambil
tindakan dengan membatalkan kontrak perkhidmatan.
No comments:
Post a Comment