Sunday, 3 July 2016

KONFLIK INDUSTRI

KONFLIK INDUSTRI
Perhubungan perusahaan wujud antara pihak majikan dengan pekerja atau kesatuan sekerja. Hubungan antara kedua belah pihak berkemungkinan berpotensi untuk mewujudkan pertikaian disebabkan masing-masing mempunyai kepentingan yang berbeza. Hal ini menunjukkan bahawa pihak majikan mempunyai kepentingan untuk memastikan keuntungan yang maksimum manakala pihak pekerja berusaha untuk mendapatkan pulangan yang berpatutan (Kamal & Rose, 2003, 15). Sekiranya kepentingan ini tidak dijaga dengan baik, maka akan berlaku konflik industri antara kedua-dua belah pihak. Konflik industri sentiasa wujud di seluruh negara sehingga ianya mampu menjejaskan ekonomi bagi sesebuah negara khususnya di Malaysia. Pembangunan ekonomi di Malaysia pada tahun 1930-an telah menghadapi zaman kemelesetan akibat daripada kejatuhan harga getah dan timah ( Kamaruddin, 1992, 47). Hal ini telah dikaitkan sebagai satu konflik dalam industri di Malaysia.
Tambahan lagi, konflik ketika zaman sebelum merdeka adalah berlaku disebabkan oleh manifesti daripada kontradiksi sosial dalam sistem ekonomi pasaran bebas yang dibawa oleh pihak penjajah. Walau bagaimanapun, secara khususnya adalah konflik industri berlaku apabila wujud ketidakfahaman dan perasaan tidak puas hati antara pekerja dengan majikan. Konflik ini sering kali wujud dalam bentuk hak berkesatuan, pengiktirafan kesatuan sekerja, pertikaian dalam perjanjian kolektif, berkenaan pengurangan gaji dan sebagainya.

MOGOK
Mogok merupakan salah satu petunjuk kewujudan konflik perindustrian (Kamaruddin, 1970, 2). Oleh itu, lonflik perindustrian dilihat sebagai suatu pertentangan antara sekumpulan pekerja dengan pihak majikan dalam sesebuah kilang atau perusahaan yang tertentu (Kamaruddin, 1992, 2). Seksyen 2 memberikan takrifan mengenai mogok sebagai :
‘Tindakan yang memberhentikan kerja yang dilakukan oleh sekumpulan pekerja yang bertindak secara bersatu atau secara bersama-sama, enggan atau keengganan untuk terus bekerja atau untuk menerima pekerjaan di bawah persefahaman bersama oleh bilangan pekerja dan termasuklah apa-apa tindakan atau ketinggalan oleh sekumpulan pekerja yang bertindak bersama atau di bawah persefahaman bersama, yang dimaksudkan kepada atau supaya menyebabkan apa-apa had, sekatan, pengurangan atau penamatan atau penangguhan perlakuan atau perlaksanaan kesemua atau mana-mana bahagian tugas yang bersangkutan dengan pekerjaan’ (Siti, 2000, 108).
Berdasarkan penyataan Seksyen 2 tersebut, ia jelas menunjukkan bahawa mogok mestilah dilakukan oleh sekumpulan pekerja yang bertindak secara bersama atau melalui persefahaman bersama. Hal ini menunjukkan sekiranya seorang pekerja mengambil keputusan untuk berhenti kerja maka perbuatan tersebut tidak dianggap sebagai mogok. Kebiasaannya, mogok dilakukan melalui anggota sesebuah kesatuan sekerja (Siti, 2000, 109). Menurut Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia, mogok merupakan tindakan memberhentikan atau enggan melakukan kerja oleh sekumpulan pekerja yang bertindak secara bersatu atau menyekat, mengurang, menangguh atau menamatkan pelaksanaan mana-mana tugasan berkaitan dengan pekerjaan mereka (Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia).
Tindakan mogok digunakan sebagai tanda rasa tidak puas hati antara pekerja terhadap majikan berhubung dengan sesuatu keadaan khususnya berkaitan dengan upah atau keadaan pekerjaan (Kamal & Rose, 2003, 36). Di Malaysia, mogok dikatakan sebagai suatu tindakan yang wajar dan diiktiraf bagi menjamin hak asasi pekerja. Mogok juga menjadi alat penting kerana jika proses pelaksanaan mogok berjaya, maka pekerja mampu memaksa majikan untuk cuba menyelesaikan pertelingkahan yang timbul secepat mungkin bagi mengelakkan kerugian yang tinggi. Menurut Sykes (1982,53), mogok juga merupakan tindakan perusahaan di mana ia merupakan suatu ‘senjata’ berasaskan taktik ‘tekanan’ yang digunakan secara langsung ke atas majikan apabila berlaku sesuatu konflik industri atau pertikaian perusahaan antara mereka dan boleh dilakukan dalam dua bentuk iaitu bentuk primer atau sekunder ( Kamal & Rose, 2003. 36)
Pelbagai kesan yang akan diperolehi akibat berlakunya tindakan mogok pekerja terhadap industri atau majikan. Dari segi bentuk primer[1], mogok boleh mengakibatkan kerugian kepada sesebuah organisasi di mana produktiviti pekerja akan terjejas. Manakala, dari segi bentuk sekunder[2] pula, ‘mogok simpati’ yang dilancarkan mampu melumpuhkan sesebuah industri malah menjejaskan ekonomi serta ketenteraman awam dalam sesebuah negara. Sebaliknya, mogok umum yang melibatkan politik akan mengugat kestabilan politik sesebuah negara dan menyebabkan berlakunya pergulungan kerajaan (Kamal & Rose, 2013, 36).


1.       Bentuk primer bermaksud mogok dilakukan secara langsung ke atas majikan apabila berlaku sesuatu ‘pertikaian perindustrian’ antara majikan dan pekerja.

2.       Bentuk sekunder ialah mogok yang dilakukan ke atas orang ataupun organisasi lain bagi mencapai matlamat yang sama. Bentuk ini meliputi mogok simpati dan mogok politik. Walau bagaimanapun, bentuk sekunder ini tidak sah untuk digunakan di Malaysia disebabkan ianya bertentangan dengan peruntukan seksyen 45(1)(b) Akta Perhubungan Peusahaan 1967.  (Kamal & Rose, 2013, 36)

No comments:

Post a Comment