Sunday, 3 July 2016

Faktor Penurunan Kadar Mogok


FAKTOR PENURUNAN KADAR MOGOK
Setelah membandingkan kadar mogok di Malaysia dari tahun 1967-1970 dan tahun 2008-2010 telah menunjukkan penurunan yang drastik. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan penurunan kadar mogok di Malaysia. Salah satunya ialah pelbagai syarat sama ada dalam bentuk substantif mahupun prosedur yang dikenakan oleh Akta Perhubungan Perusahaan dan Akta Kesatuan Sekerja ke atas hak pekerja untuk melancarkan mogok (Kamal & Rose, 2003, 77). Sekiranya sesebuah kesatuan sekerja gagal dalam memenuhi syarat-syarat dalam melancarkan mogok, maka pelancaran mogok tersebut dijadikan sebagai suatu kesalahan undang-undang. Hal ini memberi kesan negatif kepada semua pekerja dan penganjur mogok sama ada secara langsung atau tidak langsung sehingga mereka boleh terdedah kepada berbagai bentuk tindakan undang-undang.
Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhubungan Perusahaan, Kementerian Sumber Manusia seperti yang dilampirkan di jadual 2, jumlah insiden mogok yang tertinggi di negara adalah berlaku pada 1957 iaitu berjumlah 295 mogok dilancarkan. Kemudian, ianya menurun kepada 213 pada 1956, manakala di sekitar 1960-an sehingga 1980-an, jumlah puratanya adalah kurang daripada 100 (Maimunah, 1996, 147). Di sekitar tahun 1990-an pula bilangan insiden mogok jarang melebihi 20 kes. Hal ini dapat diterangkan berdasarkan jadual 2, rajah 1 dan gambar 1.
Menurut kebanyakkan komentator, walaupun hak untuk mogok telah diiktiraf namun pelaksanaannya menjadi hampir musnah akibat daripada pelaksanaan kawalan yang ketat (Cyrus, 1991, iii-iv ; Kamal & Rose, 2003, 37). Maka, ia menunjukkan bahawa bilangan insiden mogok semakin berkurangan disebabkan kawalan yang ketat serta sekatan undang-undang yang dilaksanakan oleh kerajaan secara langsung ke atas hak untuk mogok. Tambahan lagi, keupayaan pekerja untuk membela hak mereka sebagai pekerja dengan melancarkan mogok juga disekat akibat pelaksanaan kawalan dan sekatan yang dikenakan terhadap kesatuan sekerja.
Selain kawalan dan sekatan yang dikenakan oleh undang-undang ke atas hak pekerja untuk melancarkan mogok, penurunan kadar insiden mogok juga disebabkan oleh pembangunan ekonomi di Malaysia, faktor politik, perlindungan kerajaan dan sebagainya (Kamal & Rose, 2003, 109). Kita sedia maklum bahawa Tragedi Rusuhan Kaum 13 Mei 1969 menunjukkan beberapa kelemahan sistem pengagihan hasil negara kepada rakyat berbilang kaum. Maka, kerajaan telah melancarkan beberapa langkah dalam memastikan hasil ekonomi negara dinikmati oleh semua lapisan masyarakat secara lebih adil (Anantaranam, 1997 ; Kamal & Rose, 2003, 109). Hal ini sudah dijelaskan dalam matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) di bawah Rancangan Malaysia ke-2 pada 1971.
Walaupun peruntukan undang-undang yang mengawal aktiviti kesatuan sekerja dijadikan sebagai faktor utama penurunan kadar mogok, namun terdapat beberapa faktor lain yang boleh dipertanggungjawabkan penurunan kadar mogok tersebut. Antaranya ialah faktor berlakunya pertumbuhan ekonomi sehingga mampu menstabilkan sesebuah syarikat perusahaan. Hal ini bermaksud pertumbuhan ekonomi telah menyebabkan kenaikan kadar upah dan keadaan kerja yang lebih baik, peningkatan taraf hidup, pemberian perlindungan dan kemudahan asas kepada kebajikan dan hak pekerja (Kamal & Rose, 2003, 124). Ketika menjalankan kajian lapangan luar kampus di Syarikat Sanmina, penyelaras di bahagian sumber manusia telah menjelaskan bahawa keadaan ekonomi yang baik di syarikat mereka akan menyebabkan mereka memberi layanan atau menjaga kebajikan kepada setiap invidu di syarikat mereka.
Kini, pembangunan ekonomi di Malaysia masih berada dalam keadaan stabil walaupun terdapat beberapa isu yang dipertikaikan oleh segelintir pihak. Kestabilan ekonomi ini juga merupakan salah satu penyebab berlaku perubahan penurunan terhadap kegiatan mogok dalam kesatuan sekerja. Jika dibandingkan pada peringkat tahun 1947-1970, penggunaan buruh merupakan sumber utama dalam memaksimumkan keuntungan dan mengurangkan kos. Namun, apabila keadaan ekonomi meleset sehingga menyebabkan harga getah dan timah jatuh pada paras rendah, maka kelas pemodal menghadapi kesulitan yang besar untuk menikmati keuntungan (Kamaruddin, 1992, 60). Oleh itu, para kelas pemodal dan majikan terpaksa bertindak dalam memberhentikan pekerja khususnya mereka yang bekerja di ladang. Tambahan lagi, isu-isu yang dipertikaikan oleh pekerja kepada majikan semasa zaman ekonomi 1947-1970 adalah berkaitan dengan bantahan terhadap pembuangan kerja oleh pihak majikan.
Memandangkan negara Malaysia merupakan negara sedang membangun, kejayaan dalam sektor perindustrian adalah bergantung kepada pelaburan dari luar negara disebabkan oleh modal dan kepakaran di Malaysia bersifat terhad. Maka, bagi menarik pelabur asing ke negara Malaysia, beberapa prasyarat telah dikenakan seperti dasar ekonomi terbuka dan liberal serta bekalan tenaga buruh yang mencukupi pada kadar kos yang kompetetif (Kamal & Rose, 2003, 110). Melalui dasar ekonomi, Malaysia telah mengamalkan dasar sistem ekonomi terbuka semejak zaman kemerdekaan. Maka, sistem ekonomi terbuka tidak menjadi suatu luar kebiasaan bagi negara Malaysia.

Sebaliknya, penyediaan tenaga buruh yang mencukupi pada kadar kos yang kompetetif adalah faktor penting yang berkait rapat dalam menarik minat pelabur asing ke Malaysia khususnya dari negara Amerika Syarikat, Eropah dan juga Jepun (Kamal & Rose, 2003, 110). Maka, perundangan dan pengawalan terhadap aktiviti kesatuan sekerja memainkan peranan penting sekiranya berlaku pertikaian atau konflik industri. Sebagai contoh, aktiviti kesatuan sekerja seperti membuat tuntutan daripada pihak majikan mampu mewujudkan pertikaian perindustrian. 

Kesimpulannya, kewujudan konflik industri jelas menunjukkan bahawa wujud perasaan tidak puas ati antara pekerja dengan pihak majikan. Pada masa kini, kebanyakkan kes konflik industri berlaku adalah disebabkan oleh sekatan ke atas lebihan masa bekerja. Hal ini bermaksud majikan mengehadkan masa bekerja untuk meminimumkan kos pengeluaran atau upah terhadap pekerja dan tidak membenarkan pekerja menjalankan ‘overtime’ melebihi masa yang ditetapkan. Maka, pekerja akan melaksanakan tindakan mogok sebagai tanda protes atau ingin menunjukkan perasaan tidak puas ati supaya pihak majikan mengambil tindakan yang sewajarnya. Segelintir pekerja akan mogok terhadap sekatan ini adalah disebabkan oleh sistem taraf hidup pada masa lebih tinggi berbanding pada masa sebelum merdeka.
Walaupun kerajaan telah menetapkan gaji minimum untuk semua pekerja di Malaysia, namun ianya masih belum mencukupi untuk menampung kehidupan seharian di Malaysia. Melalui pemerhatian, kadar mogok telah menunjukkan penurunan yang drastik pada masa kini berbanding tahun 1947-1970, namun masih terdapat beberapa mogok yang dilaksanakan oleh beberapa pihak untuk mendapatkan hak pekerja. Hal ini termasuklah hak untuk mendapatkan pendapatan yang sewajarnya dan lain-lain lagi. Berbanding sebelum zaman merdeka, pekerja melancarkan mogok adalah disebabkan oleh faktor politik dan tindakan majikan dalam menindas hak pekerja seperti pemecatan pekerja dan sebagainya.
Namun, akibat daripada sekatan dan kawalan undang-undang oleh kerajaan Malaysia terhadap hak pekerja untuk melancarkan mogok, maka keperluan mogok menjadi semakin berkurang. Hal ini bermaksud pekerja menjadi tidak semangat untuk melaksanakan tindakan mogok disebabkan pelbagai prosedur terpaksa diikuti untuk mendapatkan kebenaran menjalankan mogok secara sah. Walau bagaimanapun, pihak kerajaan perlu memberi jaminan untuk menjaga kepentingan hak pekerja dan kebajikan mereka supaya pekerja di Malaysia tidak ditindas dan terabai. Hal ini termasuklah pekerja asing yang bekerja di negara Malaysia. Apabila hak pekerja diabaikan, pelbagai kesan buruk yang mungkin berlaku di mana pekerja akan ditindas oleh majikan sehingga menyebabkan pekerja memberontak pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment